SENGIT….Aksi Mikail Ghazali Zulfikar (biru) ketika mengasak lawannya.

KUCHING: Tiga atlet Muaythai remaja dari Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) mempamer aksi cemerlang apabila meraih tiga pingat emas dalam Kejohanan Muaythai Antara Kelab-Kelab Kebangsaan 2021 Kali Ke-4 yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pasangan adik-beradik, Mikail Ghazali Zulfikar dan Muhammad Johan Ghazali Zulfikar antara yang mencuri tumpuan apabila merangkul emas dalam kategori remaja lelaki 12-13 tahun dan 14-15 tahun.

Mikail menundukkan Muhammad Afiq Syazwan Mohd Fazli dari kelab KMHFL manakala Harith Zafran (KMSM) dan Muhammad Shah Putera (EUC) berkongsi tempat ketiga.

Abangnya, Muhammad Johan pula menewaskan Muhammad Syafiq Efenddy Abdullah dari KWM sementara Marshall Jaydden (SKM) sekadar berpuas hati di tempat ketiga.

Satu lagi emas PMNS disumbangkan Texas Jeremy Lo dalam kategori remaja lelaki 12-13 tahun selepas menumpaskan pencabar dari RMFTF, Rochester Nathangel Danise Savio.

Sementara itu, Mohammad Hairol Salmi menghadiahkan pingat perak buat PMNS setelah tumpas kepada Muhammad Hairie Mahmad dalam kategori lelaki senior bawah 51kg.

DAPAT EMAS…Mikail Ghazali Zulfikar (kanan) berjaya meraih pingat emas.

Manakala Nur Azirah Mohamad Yudi menyumbang gangsa dalam kategori senior wanita bawah 60kg yang dimenangi Nor Atiqah Zainun Zainunddin (KMKMM) manakala pingat perak milik Asmawati Ambo Tuwo.

Dua lagi atlet senior, Ayu Addyqa Azmi dan Khairul Aiman Muzaffar Agus gagal meraih sebarang pingat.

Turut gagal Jordan Bokoet Herman selepas tewas di pusingan pertama dalam kategori senior lelaki 60-63.5 kg.

Mikail dan Muhammad Johan berlatih bersama Kelab Muaythai Rentap manakala Texas Jeremy berlatih di Kelab SS Fighter.

Mohammad Hairol dan Nur Azirah pula berlatih di Kelab Muaythai Sting.

Kesemua atlet berkenaan adalah di bawah Pusat Pembangunan Muaythai Sarawak yang mendapat sokongan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) serta PMNS.

PMNS dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada SSC dan MSNS atas sokongan hingga membolehkan Sarawak menghantar penyertaan dalam kejohanan tersebut.

Kejohanan selama empat hari (27-30 Januari) itu kembali dianjurkan oleh Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) selepas dua tahun terhenti akibat penularan wabak Covid-19.

Ia menjadi pembuka tirai kepada kalendar aktiviti PMM untuk tahun 2022 dengan beberapa lagi kejohanan besar telah dirancang untuk diadakan.

Antaranya Kejohanan Kickboxing Terbuka Malaysia (Februari), Kejohanan Muaythai Elit Kebangsaan (Mac), Kejohanan Muaythai Antara Sekolah Sekolah Kebangsaan (Jun), Kejohanan Muaythai Remaja Kebangsaan (Ogos) dan Kejohanan Muaythai Remaja Dunia IFMA 2022 (November).

Suara Sarawak