Adun Tanjung Datu Azizul Annuar Adenan

KUCHING: Industri sagu dan nipah harus dibangunkan di kawasan Tanjung Datu bagi meningkatkan pendapatan masyarakat setempat serta merancakkan pembangunan kawasan tersebut.

Adun Tanjung Datu Azizul Annuar Adenan berkata, ia berikutan kawasannya berpantai dengan pokok nipah tumbuh secara semula jadi menjadikannya berpotensi untuk memajukan industri terbabit.

“Pada masa yang sama, ia akan dapat meningkatkan pendapatan, memberi peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat tempatan.

“Dengan itu saya memohon agar industri ini dilanjutkan juga ke Tanjung Datu kerana masa ini kita tidak mempunyai industri berkaitan nipah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasannya yang menyokong kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah 2022 pada Persidangan DUN, di sini, hari ini.

Tambahnya, rakyat di kawasan tersebut memerlukan pembangunan bukan sahaja dalam perindustrian dan infrastruktur, tetapi juga dalam industri pertanian.

Katanya lagi, penubuhan Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah (SDNB) itu merupakan waktu yang tepat bagi membolehkan kerajaan menyelia industri berkenaan dengan langkah yang sewajarnya untuk menjadikan komoditi ini berdaya maju pada masa akan datang.

Suara Sarawak