KUCHING: Adun Tebedu Dr Simon Sinang Bada akan memastikan kawasan dibawah naungannya tidak ketinggalan dalam pembangunan sekiranya ibu negara Indonesia telah berpindah dari Pulau Jawa ke Kalimantan nanti.

Justeru, beliau berharap permohonan Kerajaan Sarawak diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan bagi membiayai pembangunan di sempadan negeri melalui Pasukan Petugas Khas Pembangunan Sempadan.

“Kita akan memastikan daerah ini tidak ketinggalan dalam pembangunan sekiranya Ibu Kota Nusantara, Indonesia menjadi realiti nanti.

“Hal ini kerana, Tebedu sebagai daerah yang bersempadan dengan negara jiran, yang semestinya akan merasai kesan jika Ibu negara Indonesia berpindah dari Jakarta ke Kepulauan Borneo,” katanya semasa dihubungi Suara Sarawak, semalam.

Beliau turut berharap Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Tebedu dapat dinaiktaraf sama seperti CIQS di Entikong.

“Maruah dan imej negara adalah sangat penting. Kalau CIQS kita seperti yang sedia ada sekarang, maka kita jauh ketinggalan,” tegasnya.

Selain itu, beliau mendedahkan bahawa akan membuat sesi dialog bersama semua ketua kaum dan pemimpin masyarakat supaya mereka menyalurkan maklumat penting kepada rakyat di daerah tersebut.

Tegasnya, rakyat di Tebedu juga harus menggunakan kesempatan tersebut supaya mempersiapkan diri dalam segala aspek.

“Saya tidak mahu rakyat di Tebedu hanya menjadi penonton sahaja,” ujarnya.

Adun Tebedu Dr Simon Sinang Bada

Suara Sarawak