PANTAU… anggota bomba membuat pemantauan ketinggian air di Kampung Seduan dan Kampung Jeriah.

SIBU: Tiada operasi pemindahan penduduk di Kampung Seduan dan Kampung Jeriah, Batu 7 setengah, di sini susulan paras air beransur surut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, berdasarkan pemantauan setakat jam 9.15 pagi hingga 11.22 pagi di lokasi dilanda banjir kilat, keadaan adalah terkawal dan penghuni rumah yang terjejas enggan dipindahkan.

Katanya, semasa pemantauan dilakukan, terdapat limpahan air naik di jalan raya dianggarkan sedalam dua kaki di Kampung Seduan-Lorong Jeriah Barat 4.

“Sementara terdapat limpahan air masuk ke dalam rumah lot 462 dengan anggaran kedalaman setengah kaki.

“Manakala di Kampung Jeriah Batu 7 setengah-Jeriah Utara 2B, terdapat limpahan air naik di jalan raya setinggi setengah kaki dan tiada limpahan air masuk ke dalam rumah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menasihati semua penghuni yang terjejas agar sentiasa berwaspada dengan paras air sekiranya berlaku hujan lebat dan berpanjangan.

Penghuni juga dinasihatkan untuk segera menghubungi bomba sekiranya keadaan tidak terkawal dan paras air semakin naik.

Suara Sarawak