Bekalan RTK mencukupi, 18 juta di pasaran

KUCHING: Tidak timbul isu kekurangan atau kehabisan bekalan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen Covid-19 kerana terdapat kira-kira 18 juta unit tersedia di pasaran, setakat ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, malah statistik aduan berhubung kekurangan bekalan RTK menunjukkan peratus yang sangat rendah.

“Setakat 21 Februari lalu, hanya tiga aduan diterima oleh pihak kementerian berhubung kekurangan bekalan kit ujian ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, KPDNHEP memberitahu terdapat sejumlah 8,084 premis runcit telah diberi kelulusan kebenaran menjual RTK yang diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA).

“Sebagai makluman, lapan pengilang yang mendapat kebenaran bersyarat menghasilkan RTK di Malaysia telah mengeluarkan sejumlah 4.306 juta unit RTK sehingga Februari 2022.

“Manakala, negara telah mengimport sejumlah 2.34 juta unit RTK dari tujuh buah negara menjadikan jumlah keberadaan tambahannya di pasaran sehingga hujung Februari adalah 6.647 juta unit,” ujarnya.

Dalam pada itu, KPDNHEP menegaskan pihaknya sentiasa melakukan penguatkuasaan bagi memastikan keberadaan bekalan RTK terutama dengan peningkatan kes Covid-19 yang menyumbang kepada peningkatan permintaan di pasaran.

“Pengguna juga dinasihati agar tidak panik dengan situasi yang berlaku ini dengan membuat pembelian panik atau berlebihan daripada keperluan serta sentiasa berwaspada dengan kehadiran RTK yang tidak mendapat kelulusan MDA,” katanya.

Sementara, aduan mengenai salah laku peniaga berhubung bekalan dan harga RTK boleh dibuat melalui WhatsApp 019-279 4317; portal e-aduan.kpdnhep.gov.my; talian 1-800-886-800; emel e-aduan@kpdnhep.gov.my atau aplikasi Ez ADU KPDNHEP.

Suara Sarawak