KPDNHEP Mukah memantau bekalan telur ayam di sekitar pasar raya utama Mukah.

MUKAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Mukah memberi jaminan bekalan telur ayam adalah mencukupi untuk tempoh ini.

Sehubungan itu, Ketuanya Salihin Den menasihati para pengguna untuk tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan telur akan sentiasa ada di Mukah.

“Ini adalah jaminan daripada pembekal-pembekal utama kita di sini dan jangan terpengaruh dengan isu yang berlaku di tempat lain,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Tegasnya, pembelian panik boleh menganggu bekalan telur di pasaran dan KPDNHEP akan sentiasa berada di lapangan serta memantau bagi memastikan barang keperluan asas lain turut mencukupi.

Tambahnya lagi beberapa pasar raya di sekitar pasar Mukah telah menerima bekalan telur hari ini.

“Sebanyak 350 set telur telah diterima di 101 Supermarket Mukah, 100 set telur pula di Pasar Raya Glory Mukah, 150 set telur di Pasar Raya Everwin Mukah dan 500 set telur di Pasar Taay Gafu Mukah.

“Manakala untuk Pasar Raya Medan Mukah, bekalan telur ayam akan sampai pada hari Khamis ini dengan 200 set telur,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu pihaknya juga tidak mempunyai halangan sekiranya ada pasar raya menghadkan jumlah tertentu untuk seorang individu itu membeli telur.

“Tetapi kita akan mengambil tindakan tegas sekiranya mereka menetapkan syarat pembelian misalnya mesti membuat pembelian RM100 baru dapat membeli telur,” katanya lagi.

Suara Sarawak