TURUT LAYAK…Pasukan Loy69 FC.

KUCHING: Empat pasukan yang layak ke peringkat suku akhir saingan Bola Sepak 9 Sebelah Tertutup Betong, Piala Razi 2022 sudah diketahui.

Pasukan terbabit ialah Loy69 FC dan Skyline FC (Kumpulan A), Bungin Villa dan Hermanos FC (Kumpulan B).

Pengerusi Kejohanan Saiful Hanizam Suhaini memberitahu, empat pasukan itu berjaya mara selepas menempatkan diri dalam kelompok dua terbaik kumpulan masing-masing.

“Hanya empat slot lagi masih belum terisi untuk memenuhi kouta lapan pasukan yang akan beradu di peringkat suku akhir.

“Kita akan dapat tahu calon empat lagi pasukan sebaik sahaja saingan membabitkan pasukan dari kumpulan C dan D berlangsung hujung minggu ini,” ujar Saiful kepada Arena Suara Sarawak.

Sambil menyatakan saingan peringkat suku akhir akan berlangsung pada 19 Februari ini, Saiful memberitahu lima pasukan dari Kumpulan C ialah GMP FC Betong, Jang BS ‘B’, Semarang Village Utd, Dom FT dan KSRTB.

Berbanding empat pasukan dari Kumpulan D iaitu Pusa Utd, A.D Walid FC, Rastako FC dan Jang BS.

“Kita menjangkakan aksi sengit kerana masing-masing cuba memburu slot dua terbaik dalam kumpulan untuk layak ke suku akhir,” tambah Saiful lagi.

Suara Sarawak