Wanita yang mahu membunuh diri berjaya diselamatkan pihak bomba.

BINTULU: Pujukan anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang wanita yang cuba membunuh diri di bangunan taekwondo Medan Central, di sini tengah hari tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataan berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada jam 12.45 tengah hari, selepas menyedari wanita berusia 29 tahun itu mahu terjun dari tingkat tiga bangunan berkenaan.

Justeru, katanya seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, anggota mendapati wanita warga tempatan itu mahu membunuh diri.

“Hasil tindakan pantas anggota bomba berjaya memujuk mangsa daripada berbuat demikian,” katanya.

Katanya mangsa kemudiaan diserahkan kepada pihak ambulans dan polis untuk tindakan selanjutnya.

Suara Sarawak