BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Bintulu menahan sebuah bot tunda pada jarak lebih kurang satu batu nautika dari muara Sungai Kemena Bintulu, sekitar jam 7.20 malam pada Selasa kerana beroperasi tanpa dokumen sah.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, bot pengawal yang sedang melaksanakan Operasi Permai dan Op Benteng di sekitar perairan Bintulu telah mengesan bot tunda berkenaan sedang belayar tanpa muatan sekitar jam 6.50 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut disyaki beroperasi menggunakan dokumen Lesen Penghantaran Domestik (DSL) yang telah tamat tempoh dan sedang belayar keluar dari Sungai Kemena ke laut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bot tersebut dikendalikan secara bersendirian oleh seorang nakhoda warga India berumur 29 tahun yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap.

“Nakhoda beserta bot tunda tersebut ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara jika disabitkan bersalah,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya lagi Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan atau kemalangan di laut di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254) dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam.

Suara Sarawak