Sebuah bot tunda ditahan  muara Sungai Miri, pada Sabtu.

MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Miri menahan sebuah bot tunda kerana gagal mengemuka dokumen kapal serta pengenalan diri yang sah.

Pengarah Zon Maritim Miri, Eizanizam Muhammad Eng berkata, bot tunda berkenaan ditahan pada jarak lebih kurang 42 batu nautika dari barat laut muara Sungai Miri, kira-kira jam 5 pagi semalam.

“Kapal Maritim (KM) Stapa yang sedang menjalankan rondaan Op Permai di sekitar perairan Miri telah mengesan sebuah bot tunda dalam keadaan berapung dan mencurigakan.

“Pemeriksaan mendapati bot tunda itu dikendalikan empat kru warga Indonesia berumur dalam lingkungan 29 tahun hingga 50 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, ketika diperiksa, dua kru termasuk tekong mempunyai dokumen pengenalan diri, manakala dua kru lagi hanya mempunyai kad pelaut.

Selain itu, katanya tekong juga gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan bot tunda terbabit.

Eizanizam berkata bot itu kemudian ditahan dan diiring masuk ke jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Pulau Melayu untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Ordinan Kapal Saudagar 1952/60 kerana gagal mengemukakan Lesen Perkapalan Dalam Negeri dan Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan pengenalan diri yang sah.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih satu tahun.

Sementara itu, Maritim Malaysia akan terus komited dalam melaksanakan rondaan dan pemantauan dari masa ke semasa bagi mencegah pelangggaran undang-undang, penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di Perairan Zon Maritim Malaysia amnya dan di perairan Zon Maritim Miri khasnya.

Sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

Empat kru ditahan kerana gagal mengemuka dokumen kapal serta pengenalan diri yang sah.

Suara Sarawak