MUKAH: Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah berjaya menahan dua orang lelaki dalam Ops Tapis yang dilakukan di dua lokasi berasingan di sini, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, kedua-dua lelaki yang berusia 27 dan 29 tahun tersebut telah ditangkap berhubung kes dadah.

“Suspek pertama melibatkan seorang buruh telah ditangkap dalam satu serbuan lebih kurang jam 12 tengah hari di tepi Jalan Masuk Ladang Rinwood, Mukah.

“Hasil pemeriksaan lanjut, anggota telah menjumpai satu paket lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 5.12 gram,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, beliau berkata, bagi tangkapan kedua dalam lokasi berasingan, seorang mekanik ditahan di hadapan bengkel tidak bernombor di Jalan Haji Mohd Fauzi Mukah sekitar jam 12 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh suspek kita telah menjumpai satu botol hitam vape tertulis “Salt Ice Cream Vanilla” berisi cecair disyaki dadah dengan berat kasar 13 gram.

“Barangan suspek telah dirampas sebagai bahan bukti kes, dan suspek dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Suspek pertama dipercayai terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah sejak akhir Januari tahun 2022 sehingga sekarang dan suspek kedua terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah sejak awal Disember tahun 2021 sehingga sekarang.

“Hasil ujian air kencing saringan awal polis terhadap kedua-dua turut mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine,”ujarnya lagi.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kedua-dua suspek boleh dikenakan hukuman penjara dua hingga lima tahun dan boleh dikenakan tiga hingga sembilan kali sebatan.

Manakala jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau didenda tidak melebihi RM 5,000 serta pengawasan polis tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.

ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine yang dijumpai oleh pihak polis

 

Mekanik ditahan sembunyi dadah dalam botol vape

 

: Dua lelaki tempatan ditahan dalam dua lokasi berasingan oleh anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah

 

: Dua lelaki tempatan ditahan dalam dua lokasi berasingan oleh anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah

Suara Sarawak