KUCHING: Persatuan Pemilik Ladang Sawit Sarawak (SOPPOA) mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia.

Antara lain kunjungan tersebut bertujuan untuk berkongsi beberapa cabaran yang sedang dihadapi oleh industri minyak sawit negeri ini termasuk masalah kekurangan tenaga buruh yang teruk.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Jaul Samion, Menteri Muda Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek Datuk Gerawat Gala dan Pengarah Imigresen Sarawak Datuk Ken Leben. Sementara delegasi SOPPOA diketuai pengerusinya Eric Kiu Kwong Seng.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Felix Moh Mee Ho berkata, kos menjalankan perniagaan meningkat secara mendadak disebabkan gangguan rantaian bekalan dan kos bahan mentah yang tinggi.

“Sebagai contoh, harga baja dan bahan kimia yang digunakan di ladang kelapa sawit meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu,” katanya kepada Suara Sarawak, pada Rabu.

Tambahnya, malah kos menjalankan perniagaan di Sarawak kira-kira 20 hingga 30 peratus lebih tinggi dari Semenanjung Malaysia kerana isu logistik.

“SOPPOA tidak menentang gaji yang lebih tinggi tetapi berpendapat ia harus dikaitkan dengan produktiviti. Contohnya ladang kelapa sawit mengamalkan pembayaran gaji berdasarkan jumlah tugasan yang diselesaikan, bukan berdasarkan jumlah jam kerja sehari,” jelasnya.

Tegasnya, Kementerian Sumber Manusia juga perlu mempunyai strategi yang lebih holistik dalam menangani isu gaji dan bukannya menyelaraskan gaji minimum dari semasa ke semasa kerana sebarang gangguan dalam operasi perniagaan akan memberi kesan buruk kepada ekonomi terutamanya dalam keadaan tidak menentu ini.

Suara Sarawak