KUCHING: Untuk memasukkan generasi ketiga Cina, India atau mana-mana kaum sebagai bumiputera Sarawak, ia perlu dibentangkan di Parlimen bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menegaskan, bagi Rang Undang-Undang (RUU) Tafsiran (Pindaan), 2022 ia hanya mengiktiraf anak-anak hasil perkahwinan campur melibatkan salah seorang ibu bapa keturunan bumiputera negeri ini.

“Justeru jika Adun Padungan Chong Chieng Jen ingin memasukkan generasi ketiga kaum bukan bumiputera lahir di Sarawak sebagai bumiputera, saya mencadangkan beliau membentangkan pindaan kepada Parlimen,” katanya ketika menjawab soalan Adun selepas pembentangan RUU Tafsiran (Pindaan), 2022 di Persidangan DUN, di sini, hari ini.

Adun Samariang itu turut menafikan pertanyaan Chong bahawa masyarakat Melayu Semenanjung Malaysia turut diiktiraf sebagai bumiputera selepas RUU tersebut diluluskan.

“Tidak ada isu dalam hal ini kerana sudah dinyatakan dengan jelas sekali bahawa pengiktirafan status bumiputera hanya untuk rakyat Sarawak.

“Kita tidak memasukkan kaum Melayu dari Semenanjung, atau mana-mana negeri di negara ini. Ia sudah dijelaskan,” tegasnya.

Suara Sarawak