KUCHING: Citrawarna Keluarga Malaysia yang dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat diharap akan menjadi penanda aras kepada program lain di seluruh negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penganjur tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi SOP seperti ditetapkan.

“Ini terbukti apabila ada peserta yang dikompaun selepas gagal mendaftar menerusi MySejahtera ketika memasuki gerai lain kerana semua yang terbabit sudah dimaklumkan untuk mengimbas ketika masuk ke gerai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan di sekitar tempat penganjuran Citrawarna Malaysia di Kuching, hari ini.

Menurutnya, semua pengunjung juga diberikan pas khas apabila memasuki kawasan pameran, namun mereka juga mesti mengimbas kod MySejahtera.

“Kami juga menyediakan kit ujian untuk pengunjung, malah SOP yang digunakan ini diperakui oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“SOP yang ketat pada Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 ini diharap akan menjadi penanda aras kepada aktiviti lain di seluruh negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata yakin bahawa program empat hari tersebut dapat menjangkau sasaran 50,000 pengunjung.

Suara Sarawak