KUCHING: Control Union (CU), peneraju global dalam Pensijilan Hutan dengan kerjasama Jabatan Hutan Sarawak, FSC Malaysia, Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC), WWF-Malaysia dan Forum HR Malaysia akan menganjurkan webinar mengenai “Future-Proofing Sarawak Forestry through Sustainability” pada 15 Februari ini.

Webinar yang bermula pada jam 2 petang hingga 6 petang itu bagi menyahut seruan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tentang keperluan untuk mengimbangi permintaan alam sekitar serta permintaan untuk ekonomi bergerak ke hadapan.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kedua Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dijangka akan merasmikan majlis berkenaan.

“Webinar ini bertujuan mengumpulkan semua pihak berkepentingan perhutanan yang berkaitan untuk mengkaji dan menganalisis cabaran utama yang dihadapi oleh sektor berkenaan dan cara untuk menanganinya.

“Selain itu, webinar ini juga untuk bertukar-tukar pandangan dan pengalaman tentang semua aspek hutan serta pensijilan berasaskan perhutanan yang boleh membawa kepada perumusan cadangan luas yang boleh digunakan di peringkat nasional dan serantau.

“Memandangkan jumlah peserta dijangka tinggi, berharap agar forum berkenaan dapat mengukuhkan peranan hutan secara amnya serta dalam konteks isu alam sekitar, ekonomi dan sosial yang kritikal selain mengambil kira perkembangan dalam agenda pembangunan lestari global,” kata CU dalam satu kenyataan, semalam.

Kenyataan itu menambah program berkenaan turut memberi peluang untuk menghasilkan gambaran keseluruhan sektor, membezakan arah aliran, menyesuaikan dasar, mewujudkan kesedaran dalam pembuat keputusan dan mempengaruhi pendapat umum.

“Sejak sekian lama, sektor perhutanan dan industri perhutanan telah menjadi penyumbang mata wang asing yang penting bagi Sarawak.

“Bagaimanapun, kawasan hutan telah menurun pada kadar yang membimbangkan,” katanya.

Pendaftaran untuk forum maya boleh didapati melalui https://forms.controlunion.com/view.php?id=333771 atau layari laman web: www.controlunion.com

Sebagai alternatif, mereka yang berminat juga boleh menghubungi pengurus pembangunan perniagaan CU Jocelyn How di talian 012-7059975 atau e-mel ke jocelynhow@controlunion.com atau Franklin Emang di 019-8753343 atau e-mel ke franklinemang@controlunion.com.

Suara Sarawak