KUCHING: Jumlah kes positif Covid-19 di Sarawak sekali lagi dijangka meningkat secara mendadak dalam tempoh beberapa minggu akan datang, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Walaupun beliau tidak menyatakan kadar jangkaan jumlah peningkatan tersebut, namun katanya risiko peningkatan itu adalah dijangka memandangkan situasi yang sedang melanda negara ketika ini.

“Malah, pakar tempatan menyatakan bahawa mungkin terdapat kes positif yang kurang dilaporkan kerana pelaksanaan ujian kendiri, pengasingan dan pemantauan diri telah menjadi kebiasaan kepada semua rakyat.

“Inilah yang kita panggil hidup dengan virus. Jadi kita mesti berhati-hati kerana walaupun varian Omicron membawa lebih ringan gejala, tetapi ia masih akan mengganggu kesihatan anda terutama golongan yang berisiko,” katanya.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian selepas merasmikan Pusat Kitar Semula Desa Wira di sini, hari ini.

Walaupun semua langkah telah diambil, Dr Sim sekali lagi menegaskan rakyat untuk kekal berwaspada dan melakukan yang terbaik untuk melindungi diri daripada dijangkiti Covid-19.

Suara Sarawak