Covid-19: Sarawak catat 294 kes, satu kematian di Betong

KUCHING: Kadar jangkitan Covid-19 di Sarawak mencatatkan sebanyak 294 kes baharu, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 256,671 kes.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 128 kes merupakan kategori 1, 164 kes adalah kategori 2 manakala dua kes lagi dalam kategori 5.

“Daerah Miri mencatatkan kes harian tertinggi iaitu 78 kes, diikuti Sibu (75), Kuching (74), Kanowit (14), Sarikei (11), Kapit (8), Song (7), Bintulu (6), Serian dan Sri Aman (4), Samarahan (3) dan Mukah (2).

“Manakala, masing-masing mencatatkan satu kes di Limbang, Bau, Asajaya, Saratok, Subis, Matu, Telang Usan dan Pakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, JPBN memaklumkan terdapat satu kes kematian yang dilaporkan pada 17 Februari lepas.

“Ia melibatkan seorang lelaki di Betong yang berusia 52 tahun dengan tiada sejarah penyakit yang diketahui,” katanya.

Tambahnya, sebanyak 10 kompaun telah dikeluarkan di daerah Kuching atas kesalahan gagal mendaftar masuk ke dalam premis melalui aplikasi MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka.

Suara Sarawak