KUCHING: Kluster Lorong Siol Kandis melibatkan sebuah sekolah di sini diisytiharkan sebagai satu kluster baharu di Sarawak hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, kluster tersebut dikesan berpunca dari sebuah keluarga di Kampung Pinang Jawa, di sini.

“Ia melibatkan sebuah sekolah yang terletak di Lorong Siol Kandis dengan indeks (Kes Ke-254574) dikesan melalui saringan individu bergejala di sebuah fasiliti kesihatan swasta pada 15 Februari lalu.

“Jangkitan dipercayai berpunca daripada pergaulan rapat dalam kalangan ahli keluarga dan kontak
sosial serta kontak rakan sekolah kes-kes positif yang terlibat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah JPBN, ini menjadikan sejumlah tiga kluster yang masih aktif di Sarawak setakat ini.

Dalam perkembangan berkaitan, JPBN memberitahu sebanyak 416 kes dilaporkan hari ini, namun tiada kes kematian baharu.

“Daripada jumlah tersebut sebanyak 213 kes dalam kategori 1, 194 kes merupakan kategori 2, manakala sembilan kes melibatkan kategori 3, 4 dan 5,” ujarnya.

Kata JPBN lagi, Daerah Kuching terus mencatatkan kes baharu tertinggi dengan 136, diikuti Sibu (95), Miri (75), Bintulu (27), Kapit (21), Mukah (16), Matu (10), Limbang (9) dan Sarikei (7).

“Betong, Kanowit, Song Telang Usan dan Meradong masing-masing melaporkan dua kes, manakala satu kes dicatatkan di Daro, Lawas, Samarahan, Marudi, Lundu, Saratok, Serian, Bukit Mabong, Sebauh dan Dalat,” tambahnya.

Suara Sarawak