KUCHING: Citrawarna Keluarga Malaysia anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dengan tema “Temasya Kepelbagaian Budaya” menonjolkan pelbagai keunikan dalam pameran yang diadakan sepanjang tempoh 24 sehingga 27 Februari 2022.

Program yang diadakan bermula jam 10 pagi sehingga 6 petang itu juga bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara masyarakat di seluruh Malaysia apabila dikumpulkan di tapak pameran Citrawarna Waterfront, Kuching.

Melalui program tersebut, pelbagai aktiviti turut diadakan untuk memberi manfaat kepada masyarakat seperti mencungkil bakat, mendedahkan ilmu kraf tangan dan sebagainya.

Dalam pada itu, pembuat kraf tangan juga dijemput dari pelbagai kawasan di seluruh Malaysia seperti Sabah, Kelantan, Perak, Johor dan lain-lain bagi mempamerkan cara pembuatan serta hasil kraf unik dibuat secara langsung.

Mohd Nazil Arsan, salah seorang pengunjung memberitahu bahawa program Citrawarna ini dapat menonjolkan kepelbagaian kraf tangan sekali gus dapat mengekalkan khazanah sedia ada.

“Malah, program ini juga diyakini dapat memberi faedah kepada komuniti kerana ia membantu dalam memperkenal budaya yang ada di negeri kita sekali gus mengeratkan silaturahim sesama masyarakat,” katanya.

Nur Fitya Kiprawi juga berkata bahawa program Citrawarna ini bagus kerana dapat mencungkil bakat-bakat golongan muda contohnya menerusi pertandingan nyanyian, tatarias dan sebagainya Jelasnya, program ini sekali gus dapat mempromosikan masyarakat di Sarawak kepada orang luar.

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Johan Wahyuddin Taib pula memberitahu bahawa program yang diadakan pasti dapat memberikan pendedahan kepada orang ramai tentang gendang Melayu masyarakat Sarawak.

“Jadi, ini merupakan satu proses penekanan kepada masyarakat bahawa gendang Melayu Sarawak perlu dikekalkan untuk generasi akan datang.

“Hal ini demikian kerana hanya generasi tua sahaja yang berminat dalam industri gendang ini.

Justeru kita perlu mengekalkan serta meneruskan budaya unik tersebut dalam kalangan orang muda,” tegasnya.

Dalam pada itu, sepanjang program berlangsung SOP tetap dipatuhi dengan ketat seperti mengehadkan kemasukan pengunjung bagi memastikan tapak pameran tidak terlalu padat demi keselamatan orang ramai.

Sementara, majlis perasmian Citrawarna Keluarga Malaysia akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 26 Februari ini, 8 malam dan turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Datuk Seri Nancy Shukri.

Suara Sarawak