KUCHING: Seorang lelaki berusia 30 tahun dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, kerana mencuri seunit bateri kereta pada 18 Februari lepas.

Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman terhadap Muhammad Nur, 30, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri seunit bateri kereta milik Siew Choo, 57.

Dia melakukan perbuatan tersebut dalam sebuah rumah di kawasan Matang Jaya, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi, 18 Februari lepas.

Menurut fakta kes, semasa pengadu berada di sebuah kedai makan, dimaklumkan oleh jirannya bahawa telah menangkap seorang lelaki yang pecah masuk rumahnya di Matang Jaya.

Pengadu mendapati keadaan rumahnya dalam keadaan berselerak dan bateri kereta miliknya telah hilang.

Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak