KUCHING: Kadar penceraian di Sarawak berpunca daripada masalah dadah meningkat sebanyak 10 peratus pada tahun 2021 berbanding tahun sebelumnya.

Walaupun banyak punca lain yang menyebabkan berlakunya penceraian, tetapi jumlah pasangan yang bercerai disebabkan terlibat dengan bahan terlarang tersebut menunjukkan peningkatan terutama dalam kalangan masyarakat Islam.

Menurut Muda UndangUndang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, perkara tersebut amat membimbangkan kerana dadah dapat mempengaruhi kelestarian institusi kekeluargaan.

“Isu penagihan dadah begitu besar di Sarawak kerana turut melibatkan penceraian, masalah kewangan dan banyak lagi.

“Perkara ini harus ditangani secara holistik bersama-sama oleh semua pihak termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) serta agensi berkaitan demi masa depan negeri ini,” katanya.

Hasidah yang juga Naib Pengerusi Pemadam Negeri Sarawak berkata demikian pada Majlis Penangguhan Seminar Keluarga Rabbani sempena Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak di sini,

“Ini menjadi cabaran besar bagi kita umat Islam. Sebab itu program seminar seperti ini harus kerap diadakan supaya maklumat dapat disampaikan terus kepada masyarakat dari peringkat akar umbi,” ujarnya.

Hasidah memberitahu berdasarkan statistik AADK Malaysia, terdapat 95,500 individu terlibat dalam penyalahgunaan dengan 96 peratus daripadanya adalah lelaki.

“Antara kes yang dilaporkan, kebanyakannya melibatkan golongan belia. Seperti yang kita sedia maklum, belia adalah sebahagian daripada masa depan kita.

“Jadi saya ingin menyeru semua pihak untuk berganding bahu mengatasi masalah untuk kita melahirkan generasi rabbani yang lebih sayangkan diri sendiri,” tegasnya.

Dalam pada itu katanya, Hasidah menyatakan kerajaan negeri komited dalam membentuk belia negeri ini ke arah masa hadapan yang lebih cerah dengan menyediakan pelbagai bantuan serta kemudahan pendidikan seperti Centexs.

Suara Sarawak