DOUGLAS UGGAH EMBAS

BETONG: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menasihati penduduk luar bandar di negeri ini agar tidak melakukan aktiviti pemburuan babi hutan buat masa sekarang.

Menurutnya, semua pihak harus berganding bahu dalam membendung penularan Demam Babi Afrika (ASF) yang semakin menular di negeri ini.

“Biarpun daging haiwan terbabit selamat untuk dimakan, tetapi jika sisanya diberikan kepada babi ternakan, ia akan turut terjejas,” katanya.

Adun Bukit Saban itu berkata demikian pada Mesyuarat Perwakilan Tiga Tahun Sekali PBB Ranting Kubal Ulu di Rumah Panjang Mendit Unsu dekat Penom, semalam.

Menjelas lanjut katanya, ASF menyaksikan peningkatan kematian di banyak tempat dan rumah panjang di seluruh Sarawak, yang juga mengurangkan populasi babi domestik.

Katanya, babi hutan yang melintasi negeri ini dari seberang sempadan didapati menyebarkan ASF ke Kapit dan Limbang.

Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk agar berhubung dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) untuk mendapatkan nasihat berkaitan.

Suara Sarawak