MUKAH: Dua lelaki tempatan ditahan polis di Rumah Panjang Runah Dali Ak Merawing di Jalan Selangau-Sibu semalam kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek masing-masing berusia 36 dan 22 tahun tersebut, yang juga penganggur dipercayai terlibat dalam aktiviti berkenaan sejak Jun tahun lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah telah melaksanakan Ops Tapis ke salah sebuah pintu rumah panjang terbabit sekitar jam 2.30 petang.

TUMPAS… Dua lelaki tempatan ditahan pada Khamis kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Hasil pemeriksaan, pasukan merampas satu bekas cermin mata warna hitam yang mengandungi tiga paket plastik lut sinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 0.66 gram bernilai RM150 di atas lantai bilik tersebut.

“Semua barang dirampas dan kedua-dua suspek dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 suspek boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama iaitu boleh dipenjarakan selama tidak lebih lima tahun atau didenda tidak lebih dari RM 100,000 atau kedua-duanya sekali.

Suara Sarawak