KUCHING: Seorang lelaki tempatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan memukul isterinya menggunakan kerusi plastik hingga menyebabkan kecederaan teruk.

Tertuduh Fook Ngien, 45, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana berkaitan kerana sengaja mendatangkan kecederaan kepada isterinya yang berusia 40 tahun.

Tertuduh dibawa keluar oleh anggota polis dari Mahkamah Sesyen hari ini.

Semasa sebutan kes, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Aiman Mutallib Mohamad Shariff tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam bagi mengelakkan tertuduh melakukan kesalahan berulang serta melarikan diri.

Bagaimanapun, tertuduh merayu agar diberi diikat jamin kerana perlu bekerja bagi menyara empat orang anaknya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 beserta dua penjamin tempatan, dengan syarat tidak dibenarkan mendekati atau mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Tertuduh juga diarahkan untuk mendapatkan peguam sebelum tarikh pengurusan kes bermula.

Mahkamah memutuskan sebutan semula bagi pengurusan kes pada 18 Mac depan.

Suara Sarawak