KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana melakukan khianat dengan merosakkan kereta ibu saudaranya.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Ibrahim, 37, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja merosakkan bahagian sebelah kanan kereta jenis Honda City hingga menyebabkan kerugian RM1,000 dalam satu kejadian amuk di sebuah rumah sekitar jam 11.30 pagi, 11 Januari lepas.

Oleh itu, pendakwaan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit bersalah.

Difahamkan, tertuduh mempunyai masalah peribadi dengan bapa saudaranya (pengadu) hingga menyebabkan insiden mengamuk berlaku lalu merosakkan kereta milik ibu saudaranya.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Suara Sarawak