KUCHING: Seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap sepupunya, Januari lalu.

Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman terhadap Abdul Nor Amizi Effendi, 28, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Berdasarkan pertuduhan, Abdul didakwa telah melakukan jenayah ugut bunuh terhadap mangsa berusia 20 tahun di sebuah rumah beralamatkan Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa, sekitar jam 1 petang, 22 Januari lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, tertuduh mengamuk secara tiba-tiba, memecahkan sebuah jag plastik lalu mengejar serta mengugut hendak membunuh mangsa.

Semasa kejadian, tujuan tertuduh memecahkan jag plastik untuk menyucuk mangsa menggunakan serpihan terbabit.

Selain itu, tertuduh dilaporkan sering menganggu kehidupan mangsa dan ahli keluarga yang lain.

Difahamkan, tertuduh dikatakan terlibat dengan penyalahgunaan dadah tiba-tiba mengamuk semasa mangsa bertanya dan menegurnya.

Susulan itu, laporan polis telah dibuat seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak