Dilema kadar gaji minimum

DALAM era globalisasi dan menuju status negara maju, dasar gaji minimum menjadi isu hangat dibincangkan pada masa kini. Umumnya, sekitar 90 peratus negara di seluruh dunia mengamalkan dasar gaji minimum bersesuaian dengan sistem ekonomi masing-masing.

Ada negara yang mengamalkan dasar ini seawal 1990-an, contohnya negara Australia yang menguatkuasakannya seawal tahun 1904, manakala Amerika Syarikat pula pada sekitar 1983. Negara kita pula hanya mula melaksanakan dasar gaji minimum ini pada 1 Januari 2012, selepas dua dekad pelbagai kumpulan pekerja cuba menuntut kadar gaji minimum ini.

Pada mulanya, kadar gaji minimum ini ditetapkan pada paras RM900 sebulan bagi Semenanjung Malaysia manakala RM800 lagi bagi Sabah dan Sarawak. Pada 2016, kadar ini kemudian dinaikkan kepada RM1,000 sebulan bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan untuk Sabah dan Sarawak. Selepas itu pada 2019, kadar gaji minimum diselaraskan di seluruh negara kita iaitu pada kadar RM1,100. Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan, ketika pembentangan Bajet 2020.

Terbaharu, Malaysia dijangka menikmati penetapan kadar gaji minimum yang baharu, pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan sendiri mengatakan bahawa walaupun nilai sebenar kadar baharu itu belum dimuktamadkan, namun beliau positif perkara itu dapat direalisasikan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Cadangan gaji minimum baharu ini sememangnya mendapat pelbagai reaksi dan bagi pekerja swasta, langkah ini sudah tentu mendapat sambutan positif.

Tentunya siapa yang tidak mahu gaji naik, lebih-lebih untuk mereka yang tinggal di kawasan yang kos sara hidupnya sangat tinggi. Kenaikan gaji sudah tentu sedikit banyak meringankan beban hidup yang terpaksa ditanggung, lebih-lebih ketika pandemik ini yang menyaksikan harga barangan mencanak naik.

Namun persoalannya, mampukah pihak majikan khususnya syarikat kecil-kecilan menggaji pekerjanya dengan gaji lebih tinggi? Lebih-lebih sekarang ada badan kerajaan mahupun syarikat masih bergelut untuk pulih daripada serangan pandemik Covid-19 dengan sekitar 700,000 orang lagi masih menganggur di negara kita.

Bagi pihak Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), mereka pula bimbang kerana kenaikan segera gaji minimum kepada RM1,500 akan meningkatkan kos perniagaan yang berisiko buat mereka. Bagaimanapun, jika kenaikan itu dilaksanakan secara beransur ansur mungkin sedikit banyak dapat menangani kos sara hidup pekerja.

Ketika pandemik ini, keadaan perniagaan kekal rapuh bagi kebanyakan syarikat dan jika terdapat peningkatan kos khususnya kepada pengilang, ia dijangka memberi kesan kepada ekonomi. Industri pula terus menghadapi risiko pandemik, yang memberi kesan kepada rantaian bekalan global, sambungan logistik, harga komoditi dan tenaga serta bekalan buruh, sekali gus mungkin menjejaskan usaha pemulihan perniagaan.

Sementara dalam laporan akhbar nasional baru-baru ini, pakar ekonomi juga Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob pula mengatakan sebaliknya.

Menurut beliau, walaupun majikan masih belum bersedia untuk menaikkan kadar gaji minimum ketika ini, ia boleh dilaksanakan secara berperingkatperingkat bermula dengan bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Jelasnya, kadar gaji minimum itu dapat dibuat berdasarkan pola gaji di bandar-bandar besar, kos sara hidup, kadar inflasi yang ketika ini antara dua ke tiga peratus dan indeks harga pengguna (CPI).

Ini kerana jika kadar gaji minimum tidak dinaikkan dalam tempoh masa yang lama, dikhuatiri pekerja berkeluarga terpaksa menanggung kos sara hidup lebih tinggi lebih-lebih lagi keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa kini. Justeru, diharap terdapat langkah penyelesaian yang menang-menang untuk kedua-dua pihak.

Setiap keputusan yang dibuat tidak hanya menguntungkan satu pihak sahaja tetapi turut mengambil kira pihak lain yang mungkin terpaksa begelut dengan situasi ini.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak