KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan cuba mencuri sebuah motosikal.

Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman terhadap Oliver Ling, 45, yang didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Dia didapati cuba mencuri sebuah motosikal milik Chee On Lah, 62, di sebuah rumah flat di Jalan Batu Kawa, di sini, sekitar jam 2.30 pagi pada 13 Februari lepas.

Berdasarkan fakta kes, pengadu ternampak kelibat seorang lelaki sedang memotong rantai motosikal miliknya yang diletakkan di tempat letak kenderaan bawah flat tersebut.

Apabila melihat pengadu dan anaknya turun dari tingkat atas, tertuduh kemudian melarikan diri dan menolak motosikal tersebut ke tepi parit.

Seterusnya berlaku aksi kejar mengejar dan akhirnya tertuduh berjaya ditahan serta diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak