KUCHING: Seorang pemuda tempatan dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan melakukan ugutan jenayah bunuh terhadap abang iparnya, Oktober tahun lalu.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Mohammad Azhar Rabaie, 33 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapannya.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 19 Oktober 2021.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah bunuh terhadap abang iparnya di Balai Polis Santubong, kira-kira jam 12.40 petang, 19 Oktober 2021.

Oleh itu, tertuduh yang tidak bekerja didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, tertuduh telah mengeluarkan kata-kata ugutan bunuh seperti ‘Kau tunggu putus kepala kau’ terhadap abang ipar di Balai Polis Santubong.

Difahamkan, tertuduh tidak berpuas hati terhadap tertuduh kerana ditangkap pihak polis selepas kejadian membuat kacau di rumah abang iparnya.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Suara Sarawak