Dipenjara tujuh bulan akibat ugut bunuh bapa

KUCHING: Padah ugut bunuh bapa berusia 73 tahun, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Luwis, 37, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah bunuh terhadap bapanya Setar di kediaman mereka di Lorong 2 Sungai Apong Baru, sekitar jam 11.15 malam pada 25 November 2021.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Suara Sarawak