PERIKSA…anggota polis menjalankan pemeriksaan terhadap suspek.

BAU: Dua individu ditahan kerana disyaki ejen loteri haram menerusi serbuan berasingan Op Dadu di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, operasi dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau antara jam 6 petang sehingga 9.30 malam itu menyerbu sebuah rumah di Kampung Opar dan premis kedai Tondong Height.

Katanya, suspek yang ditahan adalah lelaki dan perempuan berumur 18 hingga 22 tahun.

“Pasukan operasi turut merampas sekeping kertas berwarna hijau tertulis angka-angka disyaki nombor loteri haram, seunit telefon bimbit serta wang tunai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Poge berkata, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(c) akta yang sama.

Suara Sarawak