KUCHING: Dua pusat judi dalam talian yang beroperasi di dua lokasi berbeza di sebuah pangsapuri di Jalan Song, di sini berjaya ditumpaskan menerusi serbuan serentak malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata serbuan dijalankan kira-kira jam 10.30 malam menerusi Op Ambang Tahun Baharu Cina 2022 turut menahan lapan lelaki warga Indonesia berumur 15 hingga 30 tahun.

Katanya, sindiket ini beroperasi 24 jam sehari dan dianggarkan mencatatkan keuntungan sebanyak RM405,000 berdasarkan kepada rekod transaksi yang disemak.

“Kesemua suspek telah menjadi operator pengendalian judi dalam talian semenjak September dan juga Oktober tahun lalu sehingga kini.

“Setiap operator dibayar gaji dalam lingkungan RM1,300 sehingga RM1,500 dan akan dibayar dengan sejumlah amaun bonus berdasarkan kepada keuntungan yang diperolehi oleh sindiket,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pasukan operasi turut meramps pelbagai peralatan uang digunakan oleh sindiket termasuk tujuh buah komputer pelbagai jenama, 11 buah telefon pintar, tiga unit modem dan tiga wifi router.

Ahsmon berkata, kesemua suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut dan semakan juga mendapati terdapat sebahagian suspek tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah manakala sebahagian mempunyai pasport namun telah tamat tempoh.

Katanya, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang mana jika disabit kesalahan boleh membawa denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas.

Beliau berkata, kesemua suspek turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(C) akta yang sama.

Tambahnya, kelapan-lapan suspek ditahan selama 14 hari mulai hari ini sehingga 15 Februari hadapan bagi membantu siasatan.

Tegasnya, serbuan seperti ini akan diperhebatkan lagi bagi membenteras kegiatan perjudian haram yang merugikan ekonomi negara dalam aspek lesen dan cukai.

GEMPUR…Dua pusat judi dalam talian beroperasi di dua lokasi berbeza di sebuah apartment di Jalan Song, di sini diserbu malam tadi.

PERIKSA…Pasukan operasi menjalankan pemeriksaan pada premis terbabit yang menjalankan sindiket judi dalam talian.

Suara Sarawak