Anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bau melakukan pemeriksaan ke atas sebuah premis di Jalan Jambusan, Bau sebelum menahan dua wanita kerana disyaki menjual loteri haram.

BAU: Dua wanita ditahan kerana disyaki menjual loteri secara haram di sebuah premis di Jalan Jambusan, di sini.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata wanita tempatan dan Indonesia berusia 24 dan 32 tahun itu ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bau, kira-kira jam 1 petang semalam.

“Turut dirampas seunit telefon pintar, mesin pencetak, empat keratan kertas tertera abjad dan nombor serta sejumlah wang tunai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Poge berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Seksyen 4(1)(c) ARJT.

Manakala suspek warganegara Indonesia itu turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Peralatan serta wang tunai yang dirampas daripada dua wanita yang disyaki menjual loteri haram di sebuah premis di Jalan Jambusan, Bau.

Suara Sarawak