Dua warga Indonesia didenda RM10,000 kendalikan judi dalam talian

KUCHING: Dua sahabat warga Indonesia masing-masing dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan terlibat dalam kegiatan mengendalikan mesin judi, Januari lepas.

Tertuduh Agus, 21, dan Vito, 18 masing-masing mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, kerana didapati mengendalikan mesin di sebuah rumah pangsapuri mewah di Jalan Song, sekitar jam 10.30 malam, 31 Januari lepas.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun.

Menurut fakta kes, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching telah melakukan satu serbuan Op Bersepadu Pencegahan Jenayah Ambang Tahun Baru Cina di sebuah rumah pangsapuri mewah di Jalan Song, 31 Januari lalu kerana dipercayai terdapat aktiviti judi dalam talian.

Hasil pemeriksaan, menjumpai dua lelaki warga asing yang sedang menjalankan aktiviti judi dalam talian.

Barang-barang kes turut dirampas seperti empat unit monitor, CPU (empat unit), papan kekunci (empat unit), tetikus pelbagai jenama (empat unit), telefon pintar (lapan unit) dan dua unit wifi D-Link.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak