BINTULU: Polis menahan empat lelaki warga tempatan dipercayai terlibat dalam kejadian samun berkumpulan di sebuah hotel bajet di kawasan Pusat Komersial ParkCity, di sini, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, kesemua individu terbabit berusia lingkungan 29 hingga 37 tahun ditahan di dua lokasi berasingan iaitu di Jalan Bintulu-Tatau dan Batu 7, Jalan Bintulu-Miri pada Selasa.

“Pada 20 Februari lalu, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu menerima satu laporan daripada seorang wanita tempatan yang bekerja di hotel tersebut mengatakan telah didatangi dua orang lelaki tidak dikenali pada jam 4.30 pagi.

“Pada mulanya, salah seorang lelaki tersebut mengatakan mahu menyewa bilik tetapi pengadu memberitahu hotel ketika itu tidak mempunyai bilik kosong.

“Lelaki terbabit kemudiannya membawa masuk seorang lagi rakannya ke dalam hotel yang seterusnya, salah seorang daripada mereka memanjat dan masuk ke dalam kaunter dengan membawa sebilah parang dan mengacukan kepada pengadu serta bertanya mengenai duit,” ujarnya pada sidang media di bilik mesyuarat IPD Bintulu, petang tadi.

Superintenden Zulkipli menunjukkan barangan yang dirampas susulan penahanan empat suspek yang terlibat dalam kes samun di sebuah hotel bajet di Bintulu.

Ujarnya, pengadu yang ketakutan kemudian membuka laci dan mengambil semua wang yang ada berjumlah RM3,717.

Menurut Zulkipli lagi, bertindak daripada maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bintulu berjaya menahan empat suspek terbabit di dua lokasi berasingan antara jam 5.15 hingga 6.15 petang Selasa lalu.

“Polis turut berjaya merampas sebuah kereta, sebilah parang, peti wang tunai dan pakaian yang digunakan semasa kejadian.

“Sementara siasatan awal mendapati salah seorang suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dengan tiga daripadanya di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan satu kes di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta dipenjara dua tahun di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA),” jelasnya.

Zulkipli berkata, pihaknya percaya dengan penangkapan kesemua lelaki tersebut, kes berkenaan telah berjaya diselesaikan.

“Semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Bintulu untuk permohonan reman bagi membantu
siasatan dan kini ditahan reman selama enam hari sehingga 1 Mac depan bagi membantu siasatan,” katanya lagi.

Suara Sarawak