Datuk Amar Jaul Samion.

KUCHING: Enam agensi Kerajaan Sarawak terlibat dalam projek perintis Sistem Pengurusan Antirasuah (SPAR) iaitu projek pengurusan antirasuah bermula tahun ini, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion.

Menurutnya, ia melibatkan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan; Jabatan Ketua Menteri; Jabatan Hutan Sarawak; Jabatan Agama Islam; Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah Sarawak (Recoda).

“Tindakan-tindakan antirasuah yang diambil organisasi perintis ini akan menjadi penanda aras dan rujukan kepada kementerian, jabatan dan agensi lain untuk melaksanakan inisiatif yang sama untuk bertindak dengan lebih proaktif dalam membangunkan peraturan yang lebih berkualiti dan telus,” katanya.

Beliau berkata demikan pada Majlis Pelancaran Projek Rintis Ms Iso 37001:016 Sistem Pengurusan Antirasuah di sini, hari ini.

“Agensi kerajaan harus memberikan perkhidmatan terbaik bukan sahaja kepada rakyat bahkan juga pemegang taruh. Justeru, semua agensi perlu bertindak dengan lebih proaktif dalam membangunkan peraturan yang lebih berkualiti dan telus.

“Peraturan yang disediakan bukan sahaja untuk dipatuhi malahan dapat membendung ketidakwajaran seperti rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan serta ketirisan daripada berlaku,” tegasnya.

Suara Sarawak