BERCAKAP…Ibrahim Mohd Yusof (tengah) bercakap dalam sidang media di Auditorium Kompleks belia dan Sukan Kuching

KUCHING: Penubuhan Entiti baharu bagi mengganti Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) akan dibuat berdasarkan keputusan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Pesuruhjaya Sukan Malaysia Ibrahim Mohd Yusof berkata, persatuan tersebut perlu mendapat pengiktirafan daripada ASTAF terlebih dahulu sekiranya mahu menyertai kejohanan dalam peringkat antarabangsa.

Menurutnya, buat masa ini tiada PSM sebagai persatuan badan sukan untuk membawa atlet ke peringkat antarabangsa susulan telah disingkirkan dalam gabungan ASTAF.

“Kita masih menunggu selepas ini persatuan mana yang akan diiktiraf oleh ASTAF.

“PSM bukan digantung tapi disingkirkan daripada ASTAF jadi ia bukan lagi gabungan ASTAF. Maknanya aktiviti yang dibuat PSM hanya boleh dibuat di peringkat domestik sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Auditorium Kompleks Belia dan Sukan Kuching Sarawak, hari ini.

Beliau dalam pada itu menafikan tujuan meluluskan entiti persatuan baharu adalah untuk memecahkan komuniti sepak takraw.

Menurutnya, pihaknya telah menerima permohonan dari segi penubuhan entiti baharu tersebut pada tahun lepas.

Suara Sarawak