MANTAP….Mohamad Faris beraksi dalam saingan Cabaran Hanelang di Terengganu dalam acara Downhill

KUCHING: Mohamad Faris Mohd Nashari dari Pasukan Berbasikal Sarawak berjaya meraih pingat emas pada kejohanan Cabaran Hanelang 2022 di Kuala Nerus, Terengganu, semalam.

Faris meraih pingat tersebut menerusi acara kegemarannya iaitu ‘downhill’ dengan mencatat kepantasan 3 minit 127 saat mengatasi dua pelumba tuan rumah yang masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.

Pengurus Persatuan Berbasikal Sarawak (SCA) Irwan Sudarsono dalam satu kenyataan berkata, seorang lagi pelumba, Tay Choon Liang meraih tempat kelima menerusi acara merentas desa.

“Diharap pasukan dapat meneruskan aksi cemerlang pada Kejohanan BMX Kebangsaan yang bakal berlangsung minggu hadapan di Nilai, Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) atas sokongan berterusan serta kepada pihak yang memberi sumbangan kepada SCA.

“SCA percaya program berterusan seperti ini membantu peningkatan prestasi atlet dalam kejohanan, ” ujarnya.

JUARA…Mohamad Faris (Tengah) selaku juara dalam acara downhill, mengalahkan dua pesaing tuan rumah masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga

Suara Sarawak