KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) berkata rma Amerika Syarikat (AS) telah melabur sebanyak RM165.73 bilion di Malaysia meskipun berhadapan pandemik COVID-19.

Menurut Kaji Selidik Kesan Ekonomi (EIS) 2020/21 terhadap 80 syarikat-syarikat ahli AMCHAM, lebih 130,000 orang telah diambil bekerja, sebanyak 90 peratus adalah pekerja tempatan dan menyumbang lebih RM100 bilion kepada pendapatan eksport negara.

Pengerusinya Antony Lee berkata tinjauan itu menekankan komitmen komuniti perniagaan AS untuk membantu mewujudkan persekitaran perniagaan yang berkembang maju bagi mewujudkan pekerjaan dan peluang untuk rakyat Malaysia.

EIS juga mendedahkan bahawa kaji selidik terhadap 85 peratus perniagaan, pertumbuhan positif akan berlaku pada tahun-tahun akan datang.

“Saya gembira dengan prospek ekonomi positif yang dikemukakan ahli-ahli kami untuk ekonomi Malaysia dalam tempoh 12 bulan akan datang,” kata Lee dalam satu kenyataan semalam.

Tinjauan itu juga menekankan bahawa ahli AMCHAM telah memberikan sokongan langsung kepada ekonomi Malaysia dengan memperoleh kira-kira RM20 bilion nilai barangan dan perkhidmatan tempatan dan menandatangani lebih 10,000 kontrak bernilai lebih daripada RM100,000 setiap satu dengan perniagaan tempatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AMCHAM Siobhan Das berkata kejayaan ahlinya di Malaysia amat ketara dalam industri pembuatan, perniagaan tani, pengekstrakan dan tenaga serta perkhidmatan.

“Malaysia kini merupakan titik tumpuan yang kritikal dalam kebanyakan rantaian bekalan global, membuktikan kejayaan ahli kami dalam membangunkan bakat dan perniagaan tempatan untuk peringkat global.

“Dengan kemasukan pelaburan AS baru-baru ini, kami mengharapkan ekosistem akan berkembang dan mendorong Malaysia untuk terus berjaya dalam ekonomi,” katanya.  — BERNAMA

Suara Sarawak