SARIKEI: Kebocoran paip utama dari Loji Rawatan Air Bayong ke Tangki Aras Tinggi Bulat mengambil akan masa yang agak lama untuk kembali pulih.

Menurut Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), ia berikutan kebocoran tersebut turut menjejaskan sistem bekalan air yang melibatkan kawasan yang agak luas.

“Kebocoran tersebut akibat kerja-kerja pengorekan jalan oleh pihak Pan Borneo dan telah menyebabkan gangguan bekalan air di Bahagian Sarikei sejak semalam.

“Walaupun kerja-kerja baik pulih telah disiapkan oleh pihak Pan Borneo, namun ia mengambil masa untuk kembali pulih dan turut mengakibatkan tekanan air tidak stabil di beberapa kawasan dan para pengguna berkemungkinan menerima bekalan air keruh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Gangguan bekalan air di Sarikei ambil masa untuk pulih

Bagi mengatasi masalah tersebut, JBALB Bahagian Sarikei dan pihak kontraktor telah mengambil inisiatif dengan menghantar bekalan air ke kawasan terjejas sementara menunggu bekalan air kembali pulih.

Antara kawasan yang terjejas ialah Sare, sepanjang Jalan Meruton Merudu, sepanjang Jalan Bayong, sepanjang jalan dari Jakar sehingga Simpang Selalang, Jalan Selalang, kawasan Jalan KJD Meradong, Skim B, seluruh kawasan Pakan, dan sepanjang Jalan Bulat dari Sg. Rusa sehingga Sg. Joh.

Selain itu, Kesa Baron, Kesa, Jalan Onn Dian, Sg. Garan, Jalan Friendship, Jalan Cola, dan Simpang Pakan, manakala kawasan Pekan Bintangor, Sg. Sian, Selidap, Bukit Papit dan kawasan Lebaan dijangka mengalami tekanan air rendah.

Orang ramai boleh mengetahui perkembangan terkini melalui platform media sosial JBALB Sarawak atau menghubungi talian 082- 262211.

Suara Sarawak