DATUK GERAWAT GALA

KUCHING: Adun Mulu Datuk Gerawat Gala ‘sekolahkan’ Adun pembangkang selepas mereka enggan menerima pindaan penggunaan istilah Ketua Menteri kepada ‘Premier’.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) itu menegaskan, Adun Padungan Chong Chieng Jen enggan menyokong pertukaran gelaran tersebut kerana menyifatkannya tidak relevan tanpa pindaan yang sepadan dengan Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan kuasa Negeri.

“Terpulang kepada inisiatif kerajaan negeri untuk meneroka dan terus memperjuangkan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang tidak dinyatakan dalam jadual tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 di sini, hari ini.

Jelasnya, hak dan keistimewaan Sarawak di bawah MA63 yang kini menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan dan tidak terhad kepada yang disenaraikan di bawah Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.

“Maka adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai wakil rakyat untuk terus memperjuang, merealisasi, melindungi dan memelihara hak negeri seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang merangkumi MA63,” ujarnya.

Suara Sarawak