Abang Johari pada Majlis Pelancaran HDAS dan Program Rumah Spektra Mutiara, di sini hari ini – Gambar Penerangan

KUCHING: Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS) yang diperkenalkan oleh kerajaan Sarawak tahun lalu bakal memacu dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata menerusi skim ini, ia akan membantu sektor pembinaan di Sarawak dengan membolehkan pemaju membina lebih banyak rumah dan menarik lebih ramai pembeli.

“Malah, ia akan memberi kesan kepada rantaian bekalan dalam industri perumahan dan mengurangkan kadar kemiskinan khususnya di bandar dan luar bandar,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program Perumahan HDAS dan Spektra Mutiara, di sini, hari ini.

Jelasnya, skim bantuan deposit itu merupakan pendekatan inovatif kerajaan negeri, dan Sarawak adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang menawarkan skim sedemikian.

Menjelas lanjut kata Abang Johari, inisiatif ini akan membantu golongan berpendapatan rendah khususnya golongan muda untuk mencapai hasrat mereka dalam memiliki rumah buat kali pertama.

“Selalunya masalah yang dihadapi oleh golongan muda ini adalah mereka tidak mampu untuk membayar wang pendahuluan (deposit) disebabkan oleh simpanan yang tidak mencukupi.

“Justeru, dengan bantuan deposit ini, mereka dapat membeli rumah ketika masih muda malah tempoh bagi pembayaran ansuran juga dipanjangkan iaitu kurang daripada 25 hingga 30 tahun sekali gus membolehkan mereka untuk membayar ansuran dengan harga yang murah,” katanya lagi.

Sehubungan itu katanya, pendapatan keluarga (golongan muda) ini juga akan bertambah dan mereka sudah mempunyai aset harta iaitu rumah kediaman.

Suara Sarawak