KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seharusnya memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan lagi hubungan antara semua parti yang membentuk gabungan itu sebelum menimbangkan untuk menerima parti baharu menyertainya, kata Ketua Penerangan GRS Datuk Joniston Bangkuai.

Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu itu berkata parti baharu yang berhasrat menyertai GRS perlu mempamerkan aspirasi politik mereka, di samping motivasi dan sumbangan tulus jangka panjang kepada GRS.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS)

Beliau berkata GRS menyambut baik sokongan daripada semua penduduk Sabah, dan gabungan itu tidak seharusnya tergesa-gesa membentuk pakatan baharu dengan parti-parti yang kesetiaan serta perkongsian sebenar masih belum terbukti.

“Sebarang keputusan untuk menerima parti baharu, termasuk yang telah mengumumkan mesra GRS, perlu mendapat persetujuan sebulat suara daripada semua parti gabungan sedia ada. Lagipun mereka yang berada dalam parti baharu yang berhasrat menyertai GRS ini, adalah kelompok pembangkang kita sekitar setahun lepas.

“Jadi keutamaan kita seharusnya untuk menjaga parti rakan asal kita, dan pada masa yang sama mengukuhkan perpaduan dalaman. Kita ingin menjadikan ia sebagai satu pakatan yang dibina berdasarkan kepada kepercayaan, dengan kepentingan rakyat serta masa depan negeri sentiasa di jiwa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Joniston berkata demikian sebagai merujuk kepada pengumuman bekas Naib Presiden parti Warisan Datuk Peter Anthony semalam bahawa parti beliau yang baharu didaftarkan, parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) akan memohon untuk menyertai GRS.

GRS dianggotai oleh parti-parti dari Perikatan Nasional (Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah dan PAS), Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah) serta PBS.

Joniston berkata PBS menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor memastikan keharmonian dalam kalangan semua anggota parti asal yang membentuk GRS.

“Sebagai parti politik tempatan yang paling lama di Sabah, PBS telah dan akan terus berusaha gigih untuk mengukuhkan GRS. Ini boleh dilihat menerusi peningkatan dalam keaggotaan PBS dan pembukaan cawangan-cawangan baharu,” tambahnya.  — BERNAMA

Suara Sarawak