Adun Meluan Rolland Duat Jubin.

KUCHING: Lembaga Industri Getah Sarawak yang akan ditubuhkan mesti menggubal dasar yang lebih komprehensif untuk memperkasakan pekebun-pekebun kecil, kata Adun Meluan Rolland Duat Jubin.

Menurutnya, lembaga tersebut mesti sentiasa mempunyai kepentingan terhadap pekebun kecil dalam penggubalan dasar secara adil dan tidak tunduk kepada peniaga.

“Pekebun kecil kita telah berada di bawah belas kasihan pembeli selama bertahun-tahun. Sudah tiba masanya untuk lembaga ini mengawal selia pembeli dan memastikan penetapan harga adalah bersesuaian dengan harga pasaran sebenar.

“Sekiranya pembeli tidak memberi kerjasama, saya mencadangkan kita mengaktifkan semua Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh Sarawak sebagai pembeli untuk memastikan harga yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan yang menyokong usul RUU Lembaga Industri Getah Sarawak, 2022 pada Persidangan DUN di sini, hari ini.

Tegasnya, penubuhan lembaga tersebut adalah tepat pada masanya dan boleh menjadikan Lembaga Industri Getah Sabah sebagai penanda aras bagi memastikan matlamat menjaga kepentingan pekebun kecil getah di negeri ini terpelihara.

Ujarnya lagi, lembaga tersebut juga harus memperkenalkan cukai import bagi produk getah yang diimport bagi menggalakkan industri domestik berkembang kerana pengimportan dari negara jiran juga salah satu faktor mengapa harga getah negara ditekan.

Suara Sarawak