MUKAH: Seorang guru lesap RM110,000 apabila menjadi mangsa penipuan sindikat Macau Scam di sini.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias berkata, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis pada 12 Februari lalu.

Dalam panggilan itu katanya, suspek memberitahu mangsa mempunyai tunggakan cukai pendapatan RM36,690 di sebuah Syarikat HRC Global (M) Sdn Bhd di Kuantan Pahang.

Selain itu katanya, suspek juga mendakwa mangsa terbabit dalam kegiatan jenayah penggubahan wang haram dan pengedaran dadah.

“Mangsa kemudiannya diminta untuk memberikan butiran peribadi, perbankan dan nombor TAC kepada pihak Bank Negara Malaysia bagi tujuan penyiasatan dan pembekuan akaun.

“Pengadu yang berasa cemas telah mengikuti arahan suspek yang menyamar sebagai Sarjan Ariffin dan mendedahkan semua butiran yang diminta,”katanya dalam satu kenyataan.

Muhamad Rizal berkata, mangsa turut membuat panggilan yang berbeza kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dari IPK Pahang.

Dua minggu selepas itu katanya, mangsa pergi ke Bank Rakyat Cawangan Mukah untuk menyemak baki wang dalam akaun dan mendapati wang sebanyak RM 110,000 miliknya telah dipindah ke akaun Bank CIMB dengan penama Amirul Shafri Mat Sharif tanpa pengetahuannya.

“Berasa ditipu, mangsa kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada polis dan kes ini sedang disiasat bawah Seksyen 420 Kanun keseksaan,” katanya.

Suara Sarawak