KOTA SAMARAHAN: Pelajar yang mengambil jurusan profesional akan diutamakan untuk kembali ke kampus bagi sesi pengajian secara bersemuka pada Mac akan datang, kata Naib Canselor Unimas Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.

Menurutnya, pihak universiti telah memutuskan bahawa hanya 50 peratus sahaja pelajar yang akan dibenarkan untuk masuk ke kampus iaitu sekitar 7,000 hingga 8,000 orang daripada jumlah 16,000 siswazah.

Naib Canselor Unimas Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi ketika ditemu bual wartawan

“Buat masa ini, pelajar yang terlibat dalam program profesional yang perlu menggunakan peralatan makmal, kerja lapangan serta bengkel akan didahululan untuk masuk ke kampus.

“Hal ini susulan kesukaran yang mereka perlu hadapi ketika menjalankan proses pembelajaran secara maya,” katanya pada wartawan selepas Persidangan Kejuruteraan Antarabangsa Ke-14 (EnCon2022), Unimas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, kemasukan pelajar ke kampus akan tetap mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dengan hanya membenarkan mereka yang sudah divaksinasi penuh untuk kembali ke universiti.

Manakala, keberadaan pelajar di kampus pula akan dipantau oleh pihak fakulti bagi menguruskan kemasukan pelajar di samping mengekang penularan wabak dalam kalangan siswazah.

Tambahnya, kelas juga akan diadakan mengikut kesesuaian iaitu secara hibrid di kolej kediaman masing-masing. Bagaimanapun, majoriti lebih kepada pembelajaran fizikal.

Suara Sarawak