KUCHING: Penetapan harga siling runcit ayam bagi Labuan, Sabah dan Sarawak akan dibuat berdasarkan lokasi, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Katanya ia susulan penetapan harga siling runcit ayam standard pada RM8.90 sekilogram dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Mengenai Industri Pengeluaran Makanan pada 31 Januari lalu, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Harga siling runcit ini akan berkuatkuasa pada 5 Februari ini setelah berakhirnya Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) pada 4 Februari.

“Harga ini akan kekal sehingga 5 Jun nanti iaitu selama 121 hari bagi menjamin kestabilan harga ayam dan juga harga
makanan lain yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata harga runcit RM8.90 itu merupakan penurunan kali ketiga selepas ditetapkan pada RM9.50 semasa Perayaan Deepavali, RM9.30 ketika Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dari 7 hingga 31 Disember 2021 dan RM9.10 semasa SHMKM dari 1 Januari hingga 4 Februari tahun ini.

“Penetapan harga baru runcit ayam itu ditampung melalui subsidi Kerajaan sehingga kos pengeluaran ayam kembali rendah dan stabil,” katanya.

Selain itu, Alexander berkata beberapa ketetapan berkaitan dengan industri pengeluaran ayam dan telur juga telah diputuskan dalam mesyuarat NACCOL tersebut.

Katanya harga telur ayam semua gred kekal seperti harga maksimum runcit Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa.

Pada masa sama, beliau berkata pelaksanaan kedua-dua harga siling runcit ayam dan telur bermula 5 Februari sehingga 5 Jun 2022.

“Bagaimanapun, harga siling runcit ini akan dikaji dari semasa ke semasa bergantung kepada faktor-faktor yang mempengaruhi pengeluaran ayam dan telur ayam negara,” katanya.

Beliau menambah permit import ayam bulat turut dibuka kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport ayam, berbanding
sebelum ini mereka hanya dibenarkan mengimport keratan ayam seperti kepak, paha dan lain-lain.

Malah, katanya mesyuarat juga bersetuju AP mengimport ayam dibuka kepada pengusaha  pasar raya besar,” katanya.

Suara Sarawak