Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING: Keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 melibatkan penukaran terma Ketua Menteri kepada Premier harus dihormati.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia berikutan DUN merupakan badan penggubal undang-undang tertinggi di peringkat negeri, sama seperti Parlimen di peringkat persekutuan.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai saranan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan bahawa penukaran terma tersebut perlu diperhalusi semula kerana ia memberi banyak implikasi jangka panjang termasuk konsep federalisme.

“RUU tersebut diluluskan oleh DUN, kalau dibandingkan dengan DBP iaitu sebuah jabatan, mana satu lebih tinggi?

“Itu merupakan pandangan beliau sahaja dan masih banyak lagi pendapat daripada profesor dari pelbagai universiti yang memberitahu Sarawak mempunyai hak untuk meminda perlembagaan bagi mencerminkan hak negeri ini sebagai rakan kongsi pembentukan Malaysia,” katanya.

Abdul Karim yang juga Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata demikian pada sidang media khas pengumuman pembukaan Muzium Budaya Borneo di sini, hari ini.

Suara Sarawak