Datuk Ibrahim Baki

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Satok Datuk Ibrahim Baki dilantik sebagai Ketua Whip Dewan Undangan Negeri (DUN) Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pelantikan beliau diumumkan oleh Ketua Menteri merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada majlis makan malam bersama wakil rakyat GPS, malam tadi.

Sehubungan itu, Ibrahim berharap dengan jawatan barunya itu, beliau dapat menanamkan rasa kepatutan dan kesopanan di DUN dan memastikan dewan yang mulia itu terus dilihat sebagai benteng untuk menegakkan dan melindungi hak Sarawak.

“Ini serta menjalankan fungsinya sebagai badan penggubal undang-undang tertinggi di Sarawak.

“Kami akan terus berusaha mendapatkan lebih banyak pemulihan hak Sarawak seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut berterima kasih kepada Abang Johari termasuk ketua parti komponen GPS yang lain – Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) di atas pencalonan dan sokongan untuk pelantikannya.

“Saya berjanji akan melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Menurut Ibrahim, DUN Sarawak telah ditubuhkan kira-kira 155 tahun yang lalu dan ia adalah badan perundangan tertua di Malaysia dan salah satu badan perundangan tertua yang berfungsi secara berterusan di dunia.

“Dengan sejarah dan kedudukannya, adalah menjadi kewajipan kepada semua ahli Dewan untuk menjunjung status dan mengekalkan kesopanan mereka dengan bertindak mengikut cara yang berparlimen,” katanya.

Suara Sarawak