Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen selepas dijatuhi hukuman.

KUCHING: Seorang ibu kepada tiga anak dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana mengambil dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine berulang kali.

Mahkamah memutuskan tertuduh Suzilawati Mohamad Samad, 38, yang mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Maris Agan untuk menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mengambil dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching, sekitar jam 4.42 petang, 3 Januari lalu.

Oleh itu, dia didakwa di Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibaca bersama Seksyen 39C (1) akta sama, penjara antara lima tahun hingga tujuh tahun serta tidak melebihi tiga sebatan.

Semasa sebutan kes, tertuduh yang bekerja sebagai penjual sate memohon agar diberikan hukuman ringan kerana mempunyai tiga orang anak berusia 17 tahun hingga 24 tahun yang perlu ditanggung.

Dia juga mengaku bahawa mengambil bahan terlarang terbabit untuk bekerja.

Namun demikian, Timbalan Pendakwa Raya Md Syafique Md Hilmie menyatakan bahawa tertuduh mempunyai dua rekod lampau yang disabit melibatkan kes penyalahgunaan dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, pada tahun 2020.

Suara Sarawak